Perbicaraan Anwar 25 Januari


http://www.malaysiakini.com

1pm, SAB: Perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersambung pada 25 Januari tahun depan, kata peguam bela Christopher Fernando. Peguam-peguam yang terlibat dalam kes itu bertemu dengan Hakim Mahkamah Tinggi Ariffin Jaka di kamarnya selama satu jam pagi ini bagi membincangkan tarikh baru perbicaraan kes itu.

Perbicaraan yang kontroversi itu dihentikan pada 10 November lepas, hari yang sama dengan pembubaran Parlimen, selepas hakim Arifin mengadu sakit belakang. Penolong Pendaftar mahkamah itu kemudiannya menetapkan tarikh perbicaraan baru pada 16 November tetapi kes itu dihentikan juga tanpa memaklumkan sebarang sebab dan tarikh berikutnya.

Anwar, 52, dan Sukma, 38, dituduh meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah, di pangsapuri Tivoli Villa milik Sukma, Bangsar. Sukma juga dituduh membantu Anwar meliwat Azizan.

Fernando mengulangi kenyataan bahawa Perdana Menteri Mahathir Mohamad akan dipanggil memberikan keterangan apabila kes ini bermula bulan depan. Beliau juga menambah pihak peguam bela memerlukan masa empat atau lima minggu berikutnya bagi memanggil saksi-saksi menghabiskan keterangan.

Sementara itu, Pawancheek Merican, salah seorang peguam bela Anwar, memberitahu malaysiakini Isnin lepas bahawa Peguam Negara Mohtar Abdullah pernah menyuarakan hasratnya untuk mencabar sapina dari peguam bela Anwar yang bercadang memanggil Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke mahkamah.

Beliau menambah jika sapina itu diterima, Mahathir akan dipanggil memberikan keterangan selepas Anwar dan Sukma habis memberikan keterangan.